Empat golongan manusia dalam dakwah


Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Beberapa hari lalu, kita telah disajikan dengan beberapa maklumat, mesej pesanan ringkas hasil perbualan antara anak halaqah kita dengan salah seorang admin pengurusan sebuah insititusi pengajian. Perbualan menerusi aplikasi Whatsapp tersebut telah dihantar oleh anak halaqah kepada murobbinya secara proaktif tanpa disuruh. Kerana hasil perbualan tersebut sedikit sebanyak menunjukkan ada ancaman dalaman, ada pihak yang cuba untuk sabotaj program halaqah yang kita buat di sana.

Walaupun kita telah memasuki medan dakwah tersebut dengan adab protokol birokrasi meminta keizinan dengan menghantar surat, malah sanggup menempuh perjalanan yang jauh daripada tempat tinggal kita setiap minggu, berjumpa muka ke muka membentangkan modul halaqah kita, dan walaupun telah pun mendapat keizinan pihak atasan institusi pengajian tersebut untuk kami melakukan dakwah di sana, namun sikap salah seorang daripada admin ini seakan-akan ingin mencari salah kita. Lebih parah lagi, dia memburuk-memburukkan kita di hadapan pelajar lain – sasaran utama yang ingin kita tarbiyahkan dengan Islam.

Ketika bertemu dengan dia, dia menunjukkan sokongan terhadap usaha kita. Tetapi di belakang kita, berlaku sebaliknya. Keadaan ini menjadikan urusan kita tidak lancar. Dakwah bakal terganggu. Dan tidak pula kita ingin mengeruhkan silaturrahim antara kita dan dia. InsyaAllah kita akan merancang pertemuan dengan dia untuk menyelesaikan masalah ini sehingga ke dasar akarnya. Supaya kita berharap ia tidak lagi tumbuh dan mengeluarkan cabang-cabang lain. Moga Allah berikan kesabaran kepada kita.

Kita sendiri mengetahui bahawa kita telah berliqo’ (bertemu) kerap sejak awal lagi sehingga sekarang membahaskan pelbagai strategi dakwah dan solusi kepada segala permasalahan. Namun, wahai saudara-saudariku rakan seperjuangan di jalan dakwah ini, mari kita sama pertingkatkan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t. dan bersabar atas ujian yang berterusan menimpa kita saat ini. Kerana yakin saya, bahawa ujian ini dari Allah, untuk meningkatkan darjat kita. Hikmahnya untuk memperkuatan dan meneguhkan kita agar berterusan memikirkan solusi untuk setiap masalah.

Jangan pernah merasa lemah dan berputus asa. Bersabarlah dan tingkatkanlah kesabaran. Moga-moga kemenangan dakwah bakal menjadi milik orang-orang yang bersabar. Ketahuilah wahai saudara-saudariku, inilah jalan yang sama ditempuhi Nabi-Nya. Justeru kita juga harus menjadi seteguh dan sebijak Nabi-Nya.


apple-tree-01

Dakwah kita yang terus terang

Kita ingin jelaskan objektif kita kepada seluruh manusia. Kita mahu bentangkan pendekatan kita di hadapan seluruh manusia. Kita ingin kemukakan dakwah kita kepada semua. Kta mahu kemukakan dakwah ini tanpa berselindung dan berlapik. Dakwah ini lebih cerah secerah cahaya mentari, seterang sinar fajar, sejelas siang hari.

Dakwah kita yang suci

Kita mahu umat kita memahami bahawa dakwah kita adalah dakwah yang suci. Kesucian dakwah ini menyebabkan kita menolak segala kepentingan diri sendiri, kita ketepikan segala keuntungan dunia, kita ketepikan segala keinginan dan kehendak kita. Kita melangkah menurut langkah yang telah ditetapkan oleh Allah Taala untuk para pendakwah:

قُلْ هَٰذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللَّهِ ۚ عَلَىٰ بَصِيرَةٍ أَنَا وَمَنِ اتَّبَعَنِي ۖ وَسُبْحَانَ اللَّهِ وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada ugama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain.” (Yusuf 12:108)

Kita tidak akan meminta apa-apa ganjaran daripada manusia. Kita tidak akan menuntut sebarang wang atau ganjaran. Kita tidak akan meminta kedudukan. Kita tidak akan meminta mereka membalas atau berterima kasih kepada kita. Ganjaran bagi segala usaha kita ini terserah kepada Tuhan yang mencipta kita.

Rasa hati

Kita juga mahu supaya umat kita faham bahawa mereka lebih kita sayangi daripada diri kita sendiri. Demi kasih sayang ini kita sedia jadikan nyawa kita sebagai penebus mengembalikan kehormatan umat ini. Nyawa ini sedia dikorbankan demi menebus semula maruah, harga diri, agama dan impian mereka jika perlu. Pendirian ini lahir dari rasa hati yang sekian lama mencengkam hati ini. Rasa hati yang sekian lama menyelubungi perasaan ini. Rasa hati yang menyebabkan mata ini tidak tidur lena. Rasa hati yang menyebabkan air mata ini sentiasa bercucuran. Rasanya terlalu sukar untuk sekadar melihat nasib yang menimpa masyarakat kita kemudian kita hanya berpeluk tubuh menerima segala penghinaan ini, atau sekadar mendiamkan diri. Demi Allah, kita akan bekerja di jalan Allah untuk kepentingan umat lebih daripada untuk kepentingan diri kita sendiri.

Saudara-saudari yang dikasihi, segala hidup kami hanyalah untuk kamu. Kami tidak akan sekali-kali mengkhianati kamu.

Empat golongan

Apa yang kita harapkan, di hadapan kita manusia terbahagi kepada empat golongan berikut:-

1. Orang yang yakin

Seorang yang meyakini dakwah kita, mempercayai kata-kata kita dan tertarik dengan prinsip-prinsip kita. Hatinya meyakini sepenuhnya kebaikan dakwah ini. Orang ini akan kita ajak supaya bersama kita dan bekerja bersama kita supaya dengan ini bilangan para mujahidin akan bertambah dan suara para pendakwah akan semakin berkumandang. Tiada erti sebuah keyakinan tanpa disertakan dengan amalan. Tiada erti sebuah akidah jika ia tidak mampu membawa manusia untuk merealisasikannya dan berkorban deminya. Begitulah sikap generasi pertama yang telah diberikan hidayah. Mereka mengikut dan meyakini risalah para nabi kemudian mereka berjuang bersungguh-sungguh. Mereka akan menerima ganjaran yang besar daripada Allah. Mereka juga akan memperolehi ganjaran yang sama diperolehi oleh orang yang mengikuti mereka. Tidak kurang walau sedikit pun.

2. Orang yang sangsi

Orang yang masih belum memahami kebenaran atau masih tidak meyakini keikhlasan kita. Orang yang tidak meyakini betapa pentingnya apa yang kita katakan ini. Inilah orang yang tidak berpendirian dan sangsi. Orang ini akan kita biarkan bersama kesangsiannya. Namun kita nasihatkan agar dia terus berhubung dengan kita. Kita nasihatkan agar dia membaca tentang kita sama ada secara langsung atau tidak langsung. Dia boleh mengkaji tulisan-tulisan kita di pelbagai laman sosial internet atau website blog atau melawat di tempat tinggal kita atau berkenalan dan bersilaturrahim dengan saudara-saudara kita. Dengan izin Allah selepas itu dia akan merasa lebih yakin dengan kita. Begitulah kedudukan orang-orang yang sangsi di kalangan pengikut para rasul sebelum ini.

3. Orang yang berkepentingan

Orang yang tidak mahu menghulurkan bantuannya melainkan setelah mengetahui faedah atau keuntungan yang bakal diperolehi hasil segala pengorbanan yang dicurahkan. Bagi mereka ini, kita katakan: Minta maaf, kami tidak memiliki apa-apa ganjaran selain pahala yang Allah akan berikan jika anda ikhlas dan syurga jika Allah tahu hati budi baik anda. Kami tidak mempunyai apa-apa kedudukan atau wang. Malah sebaliknya kami korban segala yang kami miliki. Harapan kami hanyalah keredhaan Allah. Allah adalah sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik pemberi kemenangan.

Sekiranya Allah membuka segala tirai yang menutupi hati orang ini atau Allah buang sifat tamak haloba daripada hatinya nescaya dia akan mengetahui bahawa apa yang Allah sediakan adalah lebih baik dan lebih kekal. Dia akan menggabungkan dirinya dengan katibah Allah, menggembleng segala kekayaan dunia yang ada padanya supaya dia beroleh ganjaran Allah di hari muka. Apa yang ada pada kamu akan kehabisan dan apa yang ada pada Allah akan kekal.

Jika tirai ini masih utuh, Allah sebenarnya tidak memerlukan orang yang tidak memberikan keutamaan kepada Allah terhadap diirinya sendiri, hartanya, dunianya, akhiratnya, matinya dan hidupnya. Begitulah kedudukan sekumpulan manusia yang pernah menolak untuk memberi taat setia kepada Rasulullah s.a.w. melainkan jika baginda menyerahkan kekuasaan kepada mereka selepas kewafatan baginda. Jawapan baginda kepada mereka ialah bumi ini milik Allah. Allah yang akan menyerahkannya kepada hamba-Nya yang dikehendaki-Nya. Segala kesudahan itu adalah untuk orang-orang yang bertakwa.

4. Orang yang berprasangka

Orang ini prejudis dengan kita dan terlalu dikuasai oleh prasangka buruknya terhadap kita. Orang ini melihat kita dengan pandangan yang sangat buruk. Mereka hanya memperkatakan tentang kita dengan kata-kata yang memburuk-burukkan kita. Orang ini begitu degil dengan kesilapannya dan masih mahu mempertahankan salah fahamnya. Orang seperti ini kita akan mendoakan semoga Allah berikan kita dan dia supaya sama-sama boleh melihat kebenaran kemudian diberikan kekuatan untuk mengikutinya dan boleh melihat kepalsuan dan kemudian diberikan kekuatan untuk menjauhinya. Kita mengajaknya jika dia mahu menerima ajakan kita dan kita menyeru dia jika dia mahu menyahut seruan kita. Kita doakan kebaikan untuknya dan Allah adalah harapan kita. Allah telah turunkan sepotong ayat kepada nabi-Nya berkisar tentang segolongan manusia:

إِنَّكَ لَا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَٰكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ ۚ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ

“Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam).” (Al-Qasas 28:56)

Walaubagaimanapun kita akan tetap mengasihi orang ini. Kita berharap semoga suatu masa nanti dia akan bersama kita serta yakin dengan dakwah kita. Pegangan kita bersama orang seperti ini ialah seperti sikap yang pernah ditunjukkan oleh Nabi s.a.w. sebelum ini:

“Ya Allah, ampunilah kaumku kerana mereka tidak tahu.”

Kita mahukan manusia termasuk dalam mana-mana satu daripada golongan ini. Sudah tiba masanya seorang muslim mengetahui matlamat dan halatuju hidupnya kemudian dia beramal menurut halatuju ini sehingga matlamatnya tercapai. Kelekaan, kealpaan, mendengar dan menurut secara membabi buta bukanlah sifat orang yang beriman.

Tulisan ini didekasikan khusus kepada semua sahabat-sahabat dalam perjuangan dakwah yang benar. Semoga kita teguh di jalan ini dan semoga Allah sentiasa menunjuki kita kepada kebenaran.

MNA
Serdang, Selangor
7 Mac 2017

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s