Kadang-kadang Kelaparan itu adalah Kekenyangan

Bismillahirrahmanirrahim

Bila perut lapar, apakah kebiasaan yang kita akan lakukan? Sudah tentu makan untuk hilangkan lapar tersebut. Dan apabila hilang lapar tersebut, maka itulah yang dinamakan sebagai “kenyang”. Satu rasa yang mana kita tak rasa nak makan lagi. We feel content. Rasa cukup. Hati juga senang.

Tapi apakah mungkin merasa lapar dan dalam masa yang sama kita juga boleh merasa kenyang? Sudah tentu sangat pelik dan bertentangan dengan logik akal. Mana mungkin perut yang lapar tiba-tiba menjadi kenyang? Justeru untuk apa wujudnya makanan bukan?

Tapi saya di sini bukanlah bermaksud hendak membuat suatu pernyataan kontroversi dalam ilmu sains. Tetapi, kadang-kadang saya sendiri merasakan ‘kekenyangan’ dalam kelaparan. Suatu perasaan yang aneh dan tidak dijangkakan berlaku dalam hidup saya.

Saya melakukan ibadah berpuasa 6 hari pada bulan syawal selepas bulan Ramadhan telahpun melabuhkan tirai. Ini adalah ibadah puasa yang sangat disarankan dalam Islam kerana manfaatnya adalah seolah-olah kita berpuasa selama setahun. Subhanallah. Bayangkan puasa enam hari sahaja pada bulan Syawal, sudah melayakkan diri kita untuk meraih manfaat dan pahala seolah-olah berpuasa selama 365 hari. Alhamdulillah. Begitu besarnya rahmat Allah SWT.

Dalam puasa enam, saya berpuasa dalam keadaan yang lebih sederhana berbanding pada bulan Ramadhan yang lalu. Hanya sekadar beberapa teguk air pada sahur dan biskut, dan berbuka hanya sekadar kuih-muih dan biskut-biskut. Kadang-kadang hanya makan keropok sahaja untuk berbuka.

Saya akui pada bulan Ramadhan yang lalu saya banyak disajikan dengan pelbagai juadah sahur dan iftar yang beraneka macam dan lazat-lazat. Terutamanya di masjid-masjid dan surau-surau. Bukan kita beli pun. Orang yang bersedekah. Sehinggakan seolah-olah tidak terasa berpuasa pada bulan Ramadhan lantaran kenyangnya perut dengan makanan-makanan pada waktu sahur dan pada waktu berbuka.

PERUT-KENYANG

Jadi saya terfikir, di mana letaknya nilai ‘menahan makan dan minum’ pada waktu siang sedangkan lapar dan dahaga itu tidak terasa langsung. Di mana letaknya nilai ’empati’ menjiwai perasaan orang-orang yang miskin yang tidak mendapat makanan yang mencukupi setiap hari sedangkan perasaan lapar dan dahaga itu tak terasa pun. Bagaimana kita boleh membawa hati yang tawadhuk untuk sentiasa berserah diri pada Allah? Jika perut kita selalu kenyang, bagaimana kita boleh merendahkan diri untuk sentiasa meminta pertolongan Allah agar Dia memperkuatkan hati kita untuk terus sabar menghadapi kesusahan tersebut dalam pada ingin tetap tegar menjayakan amanah-amanah kita sebagai seorang ayah, ibu, anak, pelajar, guru dan pendakwah?

Inilah yang dimaksudkan oleh saya. Kadang-kadang perut kita kenyang, tetapi hati kita belum tentu kenyang dan terisi dengan nilai iman dan ketaqwaan kepada Allah SWT. Kita berpuasa, tapi hanya sekadar mendapat lapar dan dahaga. Tidak mendapat hasil ketaqwaan seperti yang diharapkan oleh Allah SWT.

Oleh itu, kita perlu sentiasa memerhatikan hasil yang sebenar yang kita mahu capai dalam setiap amal-amal kita. Allah SWT sudah menjelaskan di dalam al-Qur’an surah al-Baqarah ayat yang ke-183, iaitu hasil daripada berpuasa, moga-moga kita semakin bertaqwa. Jadi tujuan sebenar kita berpuasa bukan setakat tidak makan pada waktu siangnya. Itu adalah medium, suatu syariat telah Allah tetapkan, untuk mencapai tujuan. Tetapi perkara sebenar yang nak dicapai adalah ketaqwaan kepada Allah. Itu yang perlu kita fokuskan. Samalah dalam hal-hal ibadah yang lain. Fokus kepada output yang sebenar yang ingin dicapai. Bukan sekadar buat amalan kerana rutinitas biasa yang akhirnya kita hanya mendapat penat sahaja. Hanya bersusah payah sahaja. Amalan jadi sia-sia kerana kurangnya kita memerhatikan fokus sebenar kita.

Walaupun begitu bukanlah bermakna saya hendak mengatakan yang kita perlu bersahur dan beriftar dengan makanan yang terlalu sedikit agar dapat merasa lapar. Bukan juga saya ingin menuduh orang yang makan banyak itu tidak bertaqwa atau kurang bertaqwa berbanding orang yang makannya sedikit. Penilaian yang sebenar hanyalah daripada Allah SWT. Tetapi perlu untuk saya sampaikan, kita ambil hidup ini sekadar yang perlu. Dan seperti sunnah Nabi s.a.w., bersederhanalah dalam semua perkara. Maka bersahurlah dan beriftarlah dengan kesederhanaan dan niat kerana mengharapkan keredhaan Allah SWT.

Barulah kemudiannya, hati kita mula kekenyangan dengan iman dan penuh dengan taqwa kepada-Nya insya-Allah.

Ayuh perbaharui niat kita.
Ayuh perbaiki cara fikir kita.
Ayuh ubah cara kita beramal kita ke arah yang lebih berkualiti di sisi Allah SWT.

Agar iman semakin subur dalam jiwa kita, akhlak mulia terbentuk menjadi sikap kita dan mudah-mudahan kita mampu melakukan perubahan yang sama dalam kehidupan masyarakat sekeliling kita!

Jom Berubah!

Wallahua’lam.

Aiman Achim
UNITEN, Bangi
Jumaat, 21 Julai 2017

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s