Makna Sambutan Hari Raya Aidil Adha

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh kepada semua pembaca-pembaca yang budiman.

Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha kepada semua pembaca-pembaca blog saya dan umat Islam seluruh Malaysia dan dunia. Semoga Allah subhanahu wata’ala menerima amalan-amalan kebajikan kita dan seterusnya memasukkan kita dalam calon-calon ahli syurga, insya-Allah.

Sempena sambutan Hari Raya Aidil Adha tahun 1438 hijriah, 2017 masihi atau masyarakat kita biasa memanggil dengan nama “Hari Raya Haji” atau “Hari Raya Korban”, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menulis sedikit artikel mengenai hari raya ini.

photo_2017-08-31_23-26-03Foto kredit kepada Creative Connector

Apa makna Aidil Adha?

Perkataan arab “‘Aid” dalam bahasa Melayu bermaksud “Kembali” atau kebiasaannya diterjemahkan sebagai “Selamat” dalam erti kata sambutan perayaan. Manakala perkataan arab “Adha” pula adalah bentuk jamak daripada kata “dahiyah” yang bererti haiwan korban. Korban atau “udhiah” bermaksud menyembelih haiwan tertentu jenisnya daripada ternakan yang dikategorikan sebagai al-An’am iaitu unta, lembu, kerbau, biri-biri dan kambing.

lembu1Foto kredit

Ada juga tafsian makna “Adha” berasal daripada perkataan “Dhuha” iaitu waktu Dhuha. Oleh kerana solat sunat hari raya, khutbah raya dan penyembelihan haiwan ternakan (Al-An’am) dilakukan pada waktu Dhuha, maka perayaan ini digelar sebagai Aidil Adha.

waktu-sholat-dhuhaFoto kredit

Hari raya Aidil Adha juga lazim disebut sebagai Hari Raya Haji kerana memperingati umat Islam sedang melakukan ibadah Haji di Makkah.

4154Foto kredit

Hari raya Aidil Adha di sambut pada 10 Dzulhijjah setiap tahun dan diikuti dengan hari-hari tasyrik (11, 12 dan 13 Dzulhijjah). Hari “tasyrik” bermaksud hari makan dan minum. Oleh itu umat Islam dilarang untuk berpuasa pada hari raya Aidil Adha dan pada hari-hari tasyrik.

Selain daripada Hari Raya Haji, ia juga digelar Hari Raya Korban lantaran pada hari ini umat Islam digalakkan untuk melakukan ibadah korban haiwan ternakan (al-An’am). Ibadah korban boleh dilakukan bermula selepas khutbah Hari Raya Aidil Adha sehingga sebelum terbenamnya matahari 13 Dzulhijjah.

Kisah-kisah di sebalik Hari Raya Aidil Adha

Bagaimana sambutan aidil adha ini bermula dalam syari’at Islam?

Berdasarkan kepada hadis (terjemahan) yang diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Anas r.a, yang bermaksud: “Rasulullah SAW datang ke Madinah, sedangkan mereka sedang sibuk bergembira selama dua hari. Maka Rasulullah SAW bertanya: Hari apakah yang dua hari ini? Mereka menjawab: Kami biasa bergembira selama dua hari pada zaman Jahiliah: Kemudian Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT telah menggantikannya dengan hari yang lebih baik daripada dua hari itu bagi kamu iaitu Aidilfitri dan Aidiladha.” (Diriwayatkan Imam Abu Daud dan an-Nasai daripada Anas)

Pendek kata sambutan aidil adha ini adalah sebuah ‘hadiah’ daripada Allah SWT kepada umat Islam untuk umat Islam bergembira dengan cara yang lebih berhikmah, mendidik dan bermanfaat. Indahnya Islam kerana dalam perayaan untuk bergembira juga terselitnya unsur tarbiyah dan tarbawi.

Pada Hari Raya Aidil Adha disyari’atkan kepada umat Islam yang berkemampuan untuk melakukan korban seperti di dalam hadith:

Daripada Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ، إِنَّهُ لَيَأْتِي يَوْمَ القِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلَافِهَا، وَأَنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنَ اللَّهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِنَ الأَرْضِ، فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا

Maksudnya: “Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak adam pada hari al-Nahr (Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (binatang korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada redha Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban).” [Riwayat al-Tirmizi (1493)][Imam al-Tirmizi menghukum hadith ini sebagai hasan gharib]

Jelas daripada hadith ini bahawa ibadah yang signifikan pada hari raya Aidil Adha adalah berkorban binatang ternakan.

KorbanFoto kredit

Bila kita sebut tentang korban, sudah tentu ada falsafah di sebalik syari’at korban ini. Dari mana asal usul ibadah korban ternakan ini bermula dalam Islam? Sejak bila ia mula dijadikan sebagai ibadah umat Islam?

Korban Habil dan Qabil

Ibadah korbankan binatang ternakan ini telah bermula sejak seawal zaman Nabi Adam alaihissalam (a.s.) lagi. Ketika itu, Allah SWT telah memerintahkan kepada kedua-dua putra Nabi Adam a.s. iaitu Habil dan Qabil untuk melakukan korban haiwan ternakan. Kisah mereka telah dinukilkan oleh Allah SWT di dalam al-Qur’an al-Karim, surah al-Ma’idah [5] ayat 27-31:

27 – Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil):” Sesungguhnya aku akan membunuhmu!”. (Habil) menjawab: “Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertaqwa;

28 – “Demi sesungguhnya! Jika engkau hulurkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku, aku tidak sekali-kali akan menghulurkan tanganku kepadamu untuk membunuhmu. Kerana sesungguhnya aku takut kepada Allah, Tuhan Yang mentadbirkan sekalian alam;

29 – “Sesungguhnya aku mahu supaya engkau kembali dengan (membawa) dosa (membunuhku) dan dosamu sendiri. Maka dengan itu menjadilah engkau dari ahli neraka, dan itulah dia balasan orang-orang yang zalim”.

30 – Maka nafsu jahat (Qabil) mendorongnya (sehingga ia tergamak) membunuh saudaranya, lalu ia membunuhnya. Oleh itu menjadilah dia dari golongan orang-orang yang rugi.

31 – Kemudian Allah hantarkan seekor burung gagak (menyuruhnya) mengorek-ngorek di bumi supaya, diperlihatkan kepada (Qabil) bagaimana cara menimbus mayat saudaranya. (Qabil) berkata: “Wahai celakanya aku! Alangkah lemah serta bodohnya aku, aku tidak tahu berbuat seperti burung gagak ini, supaya aku dapat menimbuskan mayat saudaraku?”. Kerana itu menjadilah ia dari golongan orang-orang yang menyesal.

Di dalam tafsir Ibnu Kathir, diceritakan bahawa tujuan korban diperintahkan untuk dilakukan oleh Habil dan Qabil adalah untuk menentukan siapakah di antara mereka yang korbannya diterima Allah SWT (menerusi panahan api ke atas korban) dan seterusnya melayakkan diri untuk menikahi anak perempuan Adam a.s. yang cantik. (Sila rujuk teks penuh dalam Tafsir Ibnu Kathir surah al-Ma’idah ayat 27-31)

Habil mengurbankan seekor domba yang gemuk, sedangkan Qabil mengurbankan seikat gandum, tetapi ketika ia menjumpai sebulir gandum yang besar di dalamnya, segera dirontokkannya dan di­makannya. Dan ternyata api turun, lalu melahap kurban Habil, sedang­kan kurban Qabil dibiarkan begitu saja (tidak dimakan api). Menyaksikan hal itu Qabil marah, lalu berkata, “Aku benar-benar akan membunuhmu agar kamu jangan mengawini saudara perempuanku.” Maka Habil hanya menjawab, “Sesungguhnya Allah hanya menerima (kurban) dari orang-orang yang bertakwa.” (Tafsir Ibnu Kathir)

Berdasarkan kisah ini, jelas sekali bahawa korban Habil diterima Allah SWT berbanding korban Qabil lantaran kualiti pengorbanan yang ditunjukkan. Ia mencerminkan peribadi Habil yang sanggup memberikan yang terbaik untuk Allah SWT berbanding Qabil yang hanya memberikan sisa yang tidak berkualiti untuk dipersembahkan sebagai korban di hadapan Allah SWT. Memberikan korban yang terbaik menjadi indikator tingkatan ketaqwaan kepada Allah SWT.

Korban Nabi Ibrahim a.s.

Selain kisah Habil dan Qabil, ibadah korban juga boleh didapati di dalam kisah Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s..

Nabi Ibrahim berdoa kepada Allah SWT agar dikurniakan zuriat untuk meneruskan perjuangan dakwahnya menyeru manusia kepada Allah SWT. Maka setelah dikurniakan Nabi Ismail, datang pula ujian daripada Allah SWT diperintahkan kepada Nabi Ibrahim a.s. supaya dikorbankan anak kesayangannya Nabi Ismail a.s. melalui penyembelihan. Walaupun berat untuk dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s., namun dia redha melakukannya kerana demi menunjukkan ketaatannya dan kecintaan yang penuh kepada Allah SWT melebihi segala-galanya di dunia. Namun ketika hendak disembelih Nabi Ismail, Allah SWT menyeru Ibrahim dan menebus Nabi Ismail dengan seekor haiwan sembelihan yang besar seperti yang dinukilkan di dalam surah As-Shaffat [37] ayat 99-111:

99- Dan Nabi Ibrahim pula berkata: “Aku hendak (meninggalkan kamu) pergi kepada Tuhanku, Ia akan memimpinku (ke jalan yang benar).

100 – ” Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh!”

101 – Lalu Kami berikan kepadanya berita yang mengembirakan, bahawa ia akan beroleh seorang anak yang penyabar.

102 – Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?”. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar”.

103 – Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim – dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami),

104 – Serta Kami menyerunya: “Wahai Ibrahim!

105 – “Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu”. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.

106 – Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata;

107 – Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar;

108 – Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian:

109 – “Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim!”.

110 – Demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.

111 – Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu dari hamba-hamba Kami yang beriman.

Hikmah dan Pengajaran untuk Kita Umat Islam di Zaman Masakini

Hari raya Aidil Adha ini memberikan 1001 hikmah pengajaran dan tarbiyah kepada kita semua sebagai umat Islam. Setiap tahun mesej dan tema yang sama akan diulang-ulang, dilaung-laungkan, didendang-dendangkan – sebagai satu peringatan dan penekanan agar umat Islam menghayati satu nilai yang membawa kepada kejayaan dan kemuliaan, dan nilai itu adalah PENGORBANAN.

KEJAYAAN tidak akan tercapai oleh umat Islam tanpa PENGORBANAN.
KEMULIAAN tidak akan tercapai oleh umat Islam tanpa PENGORBANAN.

PENGORBANAN sangat sinonim dan telah menghiasi peribadi-peribadi para Rasul, Anbiya’ dan sahabat-sahabat Rasulullah rodhiyallahu ‘anhum (r.a.) dalam perjuangan mereka menyebarkan dakwah sinar Islam ke serata pelusuk dunia dan mempertahankannya dengan darah dan air mata. Di dalam al-Qur’an banyak disebutkan kisah-kisah para pejuang agama banyak diceritakan dalam keadaan kondisi sedang bersusah-payah dan BERKORBAN.

Ada kisah bagaimana Nabi Nuh a.s. berdakwah selama 950 tahun tanpa mengenal erti lelah dan jemu. Itulah pengorbanan masa, tenaga dan perasaan yang dilakukan. Adakah kita pada hari ini telah berkorban masa, umur kita dan perasaan kita untuk terus menerus menasihati dan membimbing keluarga dan rakan-rakan mendekati Islam? Adakah kerana kita telah merasa dewasa dan tua kita berhenti kerana memikirkan masalah kudrat. Adakah kita fikir kerana terlalu sibuk dengan hal pekerjaan dunia maka kita memberi alasan tidak ada masa untuk berdakwah.

Kisah Rasulullah s.a.w. di dalam al-Qur’an dan sunnah juga terlalu banyak pengorbanan yang dicontohkan. Rasulullah s.a.w. dan para sahabat telah berkorban segala-galanya milik mereka, dari harta, masa, tenaga, perasaan sehinggalah jiwa (nyawa) mereka sahaja sanggup dilepaskan untuk memperjuangkan sebuah keimanan dan jati diri seorang mukmin. Mereka terus menerus melakukan pengorbanan yang tiada tolok bandingnya sehingga mereka berjaya menyebarkan dakwah mereka ke seluruh tanah Arab, Rom, Parsi, Sepanyol, Konstantinopel dan banyak lagi. Padahal mereka hanyalah golongan yang kerdil dan sedikit bilangannya. Tapi sangat berkualiti dalam menampilkan pengorbanan dan kesungguhan mereka demi merialisasikan impian mereka untuk Islam.

Namun hari ini saya dapati umat Islam terlihat semakin lama semakin hanyut dalam kelalaian dan kemaksiatan. Semangat perjuangan kian pudar. Hanyut ditelan hiburan melampau. Tiada lagi laungan-laungan pemuda yang bercita-cita tinggi. Kita sekadar selesa dengan keamanan negara yang kita kecapi selama 60 tahun. Kita telah merdeka secara fizikal sahaja. Pemikiran kita masih belum kita merdekakan. Pemikiran kita masih dijajah dan diperkosa oleh anasir-anasir jahat yang berniat keji untuk melenyapkan Islam dari jiwa umat Islam. Rosak dan punah dek kerana propaganda media, gerakan-gerakan dakyah, pemikiran bebas, dan lain-lain.

Hal ini berlaku kerana umat Islam sendiri tidak menghayati makna pengorbanan dalam erti kata yang lebih luas dalam kehidupan. Mereka tak boleh nak korbankan apa yang mereka suka demi mencapai satu manfaat yang lebih baik. Korbankan sedikit waktu belajar untuk berdakwah tidak boleh. Korbankan sedikit masa dengan keluarga untuk berdakwah tidak boleh. Korbankan waktu kita berhibur untuk membaca al-Qur’an tidak boleh. Korbankan sedikit wang ringgit untuk membantu usaha dakwah tidak boleh. Umat Islam selalu sahaja melakukan apa yang bersesuaian dengan hawa nafsu mereka sehingga untuk melakukan pengorbanan yang lebih besar mereka mengatakan itu adalah ekstrem dan tidak moderat. Padahal pengorbanan yang besar adalah sesuatu yang sentiasa Allah SWT tuntut daripada kita untuk dilakukan demi agama-Nya.

Nabi Ibrahim a.s. mengorbankan anaknya yang disayangi. Adakah baginda suka pada hakikatnya? Tidak. Tapi baginda rela berkorban perasaan dan mengikhlaskan niat semula untuk sanggup berkorban demi mentaati Allah SWT. Bolehkah kita semua mula berkorban dengan apa yang kita suka demi mencapai maksud ketaatan dan kecintaan kita kepada Allah SWT lebih daripada segala-galanya di dunia ini?

Penutup

Sebagai kesimpulannya, ayuh saya menyeru kepada diri saya sendiri dan rakan-rakan pembaca agar kita menghayati sedalam-dalamnya makna pengorbanan dalam kehidupan kita.

Kita tak mungkin dapat mencapai kejayaan dan kemuliaan tanpa ada pengorbanan yang kita lakukan. Di waktu-waktu mendatang jika sampai kepada anda pilihan untuk berkorban atau tidak, maka relakanlah hati anda untuk berkorban tanpa ragu-ragu setelah yakin bahawa pengorbanan tersebut adalah bermanfaat untuk iman anda, dan iman orang lain. Kadang-kadang akal kita terbatas untuk mengetahui apa yang terbaik untuk diri kita. Allah SWT jualah yang Maha Mengetahui:

Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya. (Al-Baqarah: 216)

Gunakanlah kaca mata iman dan taqwa dalam menilai sesuatu. Bukan kaca mata materialistik dan rupa luaran.

Mari tingkatkan kualiti pengorbanan kita di hadapan Allah SWT agar kita dapat mencapai kejayaan dan kemuliaan di dunia dan di akhirat.

Salam Aidil Adha kepada anda semua. Semoga Allah SWT menerima amalan-amalan kita semua insya-Allah. Hati-hati menyembelih dan melapah daging lembu ya? 🙂

photo_2017-08-31_22-00-59Foto kredit Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia

Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia ke-60 tahun terutamanya kepada rakyat Malaysia. Saya tetap berbangga sebagai anak Malaysia kerana dilahirkan di tanah yang merdeka hasil perjuangan dan pengorbanan datuk nenek moyang terdahulu. Kita doakan supaya Malaysia kekal menjadi negara berdaulat dan merdeka secara fizikal mahupun merdeka juga pemikiran dan jiwa rakyatnya. MERDEKA!! MERDEKA!! MERDEKA!!

60th-Independence-Day-Of-Malaysia-Hari-Merdeka-2017Foto kredit
2320362-Stephen-R-Covey-Quote-Sacrifice-really-means-giving-up-somethingFoto kredit

Wallahua’lam bis showab
Sebarkan sebagai peringatan yang bermanfaat untuk semua. 🙂

Aiman Achim
10 Dzulhijjah 1438H, 1 September 2017
Bukit Katil, Melaka.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s