Berapa Banyak Ucapan ‘Terima Kasih’ yang Mampu Kita Ucapkan?

Jika kita diberikan satu ruang waktu yang terhad, berapa banyak ucapan terima kasih yang mampu kita ucapkan?

Adakah pernah terlintas dalam fikiran anda persoalan seperti ini sebelum ini?

Ada dua kesimpulan yang dapat dinatijahkan dari simulasi pemikiran ini:

  1. Jika ada banyak perkara/orang yang anda ingin ucapkan terima kasih, bermakna anda orang selalu beringat, bermuhasabah, dan sentiasa mencari ruang untuk improve diri sendiri. Anda juga orang yang rendah diri (tidak ego).
  2. Jika hanya sedikit atau hampir tiada langsung perkara/orang yang anda ingin ucapkan terima kasih, bermakna anda seorang yang mudah terlupa, terleka, dan tidak ada keinginan yang kuat untuk improve diri sendiri. Jika ada sekalipun, kebanyakan waktu hanyalah angan-angan kosong sahaja. Anda mungkin orang terlalu tidak peka atau ego.

Persoalan ini saya sendiri terlintas dalam fikiran saya, kerana ada satu masa saya melihat diri saya sebagai orang yang selalu lupa. Sering tidak menghargai kesenangan atau nikmat yang saya dapat hari ini. Maksud saya, apakah yang membentuk diriku hari ini? Apakah yang membantu aku sehingga jadi seperti hari ini? Dan sebagainya.

Pemikiran seperti ini juga tercetus dalam minda saya setiap kali saya melihat satu isu atau perkara yang tidak baik, dan saya katakan kepada diri saya “Nasib baiklah aku waras lagi”, “Aku takde pun terfikir untuk buat macam tu”, “Macam manalah diorang boleh terfikir/tergamak buat macam tu” dan seumpamanya. Lalu saya dengan pantas ‘evaluasi’ faktor suatu isu tidak baik itu terjadi dan saya bandingkan dengan nasib saya sendiri.

Justeru dari situlah saya terfikir,

“Alhamdulillah nasib baik mak ayah aku besarkan aku cara begini”,
“Alhamdulillah, nasib baik dulu kawan sekolah aku selalu nasihat bimbing aku tentang perkara ni”,
“Alhamdulillah, syukur aku ditarbiah dengan Islam, fikiranku lebih rasional dan peribadiku lebih kemas”

Ya, banyak penghargaan yang saya rasakan layak untuk diberikan kepada ramai orang. Kerana tanpa mereka, saya tidak menjadi diri saya sekarang.

Satu firman Allah SWT yang menambahkan lagi keyakinan kepada saya kenapa berterima kasih itu sesuatu yang harus kita jadikan kebiasaan dalam hidup:

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ

Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih” – Ibrahim (14): 7

Jika kita pandai bersyukur dan berterima kasih, maka Allah SWT akan menambahkan lagi nikmat ke atas kita. Paling simple nak faham logik ni, contohnya kalau kita berterima kasih kepada kawan kita kerana dia banyak beri tunjuk ajar subjek addmaths, maka pengetahuan addmaths akan bertambah bukan? (jika ikut ayat 14:7 tu). Bagaimana ia terjadi:

Bersyukur Tidak bersyukur
Kalau hadapi masalah addmaths lagi Dia akan mencari rakannya untuk membantu dia semula menyelesaikan masalah. Dia bertambah pandai dan cekap dalam addmaths Dia ego, tidak mencari rakannya yang memberikannya tunjuk ajar. Justeru masalahnya tidak selesai dan ilmu tidak bertambah. Semakin kebelakang

Rajah di atas adalah contoh perbandingan natijah orang yang bersyukur dan tidak bersyukur dalam masalah yang di hadapi.

Itu analogi ringkas. Begitu juga logik yang sama boleh diaplikasikan dalam hidup kita. Jika dalam hidup kita banyak perkara kita hargai, kita akan makin mendapat manfaat dalam hidup kita sendiri. Sebaliknya jika kita selalu tidak menghargai, hidup kita akan makin sukar dan tiada penambahbaikan.

Saya pernah mencuba simulasi pemikiran itu banyak kali. Dan ternyata di dalam waktu yang singkat, saya tidak mampu dan hampir mustahil untuk menyatakan semua penghargaan saya kepada banyak perkara/orang dalam hidup saya. Meskipun diberi waktu sepanjang hari, saya masih tidak putus-putus ucapan terima kasih. Pasti akan ada perkara yang makin jelas di pandangan kita memberi kebaikan kepada kita. Terkenang insan-insan masa lalu (baik kawan mahupun lawan) yang membentuk siapa diriku hari ini. Subhanallah, benar sekali firman Allah SWT:

وَإِنْ تَعُدُّوا نِعْمَةَ اللَّهِ لَا تُحْصُوهَا إِنَّ اللَّهَ لَغَفُورٌ رَحِيمٌ

Dan jika kamu cuba menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tak akan dapat menentukan jumlahnya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” – An Nahl (16):18

Akhir sekali, perkongsian ini menjadi satu erti yang bermakna untuk diri saya kerana saya berkongsi kepada anda semua tentang apa yang membuatkan saya merasa gembira dan semakin nampak cara hidup yang lebih membahagiakan diri saya.

Ucapkanlah terima kasih. Baik secara bersemuka mahupun minima getusan dari hati yang ikhlas.

Aku berterima kasih kepada ibu bapa, guru dan rakan-rakan yang sentiasa menunjuk ajar, menasihati dan membimbing aku dengan ilmu dan akhlak.

Aku berterima kasih kepada orang-orang yang membenciku, kerana mengajarku bagaimana untuk melihat kesilapan dan kejelekan diriku agar aku berubah.

Aku berterima kasih kepada musuh-musuhku, kerana mengajarku nikmatnya berdamai, berlapang dada dan memahami situasi orang lain.

Aku berterima kasih kepada kesilapan masa lalu yang aku terlanjur melakukan, kerana tanpanya aku tidak belajar untuk menghadapinya masa akan datang. Juga tanpanya aku tidak memahami bagaimana perasaan orang yang bersalah. Supaya masa akan datang aku mampu membimbing orang lain.

Aku berterima kasih kepada buku-buku yang telah aku baca, kerana membentuk corak pemikiranku yang lebih kritis dan berpengetahuan.

Aku berterima kasih kepada tarbiah quran yang aku dapat sejak di bangku sekolah sehingga aku masuk ke universiti, kerana mempersiapkan diriku dengan kehalusan akhlak terpuji, pemikiran yang rasional, ilmu yang bermanfaat, kemahiran yang berguna untuk aku menghadapi dunia luar tanpa terpengaruh dengan keduniaan.

Aku berterima kasih kepada orang yang melayaniku dengan baik sungguhpun aku melakukan sebaliknya terhadap mereka, kerana mengajarku erti sabar, ikhlas dan cinta tanpa sebab (unconditional love).

Dan seterusnya, dan seterusnya dan seterusnya…

Ya terlalu banyak dalam fikiran saya. Ada yang saya boleh kongsi dan ada yang saya lebih selesa untuk disimpan sebagai penghargaan peribadi.

Paling penting, saya berterima kasih kepada Allah SWT atas segala aturan yang Dia telah takdirkan kepada hidup saya. Saya mula nampak segala hikmah di sebalik kesenangan dan cabaran yang diberikan oleh-Nya. Alhamdulillah. Supaya dengan mutiara-mutiara hikmah berbentuk pengalaman hidup itu bisa untuk kukongsikan kepada anda dan kepada orang-orang yang saya sayangi sebagai hikmah dan pelajaran untuk mereka pula.

Semoga Allah SWT memberikan kita semua taufik-Nya, rezeki yang melimpah ruah dan kebahagiaan dalam hidup ini. In shaa’ Allah.

Sekadar itu sahaja perkongsian saya untuk kali ini. Moga bermanfaat untuk anda. Kongsikan penulisan ini jika anda rasakan berguna. Saya izinkan dan sarankan. Terima kasih ya. 🙂

Marilah kita menjadi insan yang sentiasa bersyukur dan berterima kasih. Moga kita istiqamah menjadi hamba-Nya yang bersyukur. Amiin.

Assalamualaikum dan jumpa lagi di penulisan yang seterusnya.

thank-you-picture-quotes

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s